FAQ (Syariah)

Soal Lazim Undang-undang Keluarga Islam

Pertunangan

Sekiranya berlaku pembatalan pertunangan oleh pihak lelaki, bolehkah gantirugi dituntut?
Tuntutan gantirugi boleh dibuat untuk bayaran kos pertunangan (contohnya bayaran pihak katerer, kos pembelian cincin dan sebagainya) tetapi tidak boleh atas alasan malu.

Perkahwinan

Adakah perkahwinan memerlukan wali dan saksi? 
Perkahwinan adalah satu kontrak yang memerlukan wali dan saksi. Tetapi sekiranya wali tidak bersetuju (wali engkar) si wanita boleh mengenepikan wali nasab iaitu wali yang mempunyai ikatan persaudaraan (blood relationship), dan juga boleh melantik wali am. Tuntutan boleh dibuat dengan cara mengisi borang tuntutan dan failkan di negeri mastautin Puan. Sila rujuk borang dari laman-laman web Jabatan Kehakiman Syariah Negeri: misalnyahttp://syariah.terengganu.gov.my/borang.php
Tentang saksi pula, 2 orang saksi lelaki adalah diperlukan sebagai salah satu tuntutan sah laku kontrak perkahwinan.

Adakah perkahwinan perlu didaftarkan di Malaysia? 
Sekiranya anda berkahwin di luar negara, undang-undang di Malaysia memperuntukkan bahawa anda harus mendaftarkan perkahwinan bagi tuntutan hak-hak anda dari segi undang-undang Islam sebagai isteri dan/atau ibu. Jika tidak anda mungkin menghadapi masalah jika ada isu-isu perkahwinan timbul seperti penceraian dan sebagainya.

Bolehkah seorang suami itu menjadi nusyuz?
Ya. Suami boleh menjadi nusyuz apabila gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Ini bermaksud suami tersebut enggan menunaikan hak spiritual, material atau bertindak kasar terhadap isteri. Hak spiritual isteri ialah komunikasi yang baik, memenuhi kepuasan seksual, memberi pendidikan agama, dan adil, tidak dihina dan dikasari. Hak material isteri ialah maskahwin, nafkah dan mut’ah jika berlaku perceraian tanpa nusyuz isteri.

Penceraian

Apakah jenis-jenis perceraian?
Terdapat pelbagai cara yang biasa digunakan untuk membubarkan perkahwinan, seperti (i) Taliq (ii) Fasakh(iii)Khulu (iv) Lafaz Talaq
Pilihan cara perceraian adalah berdasarkan syarat-syarat, keadaaan dan keperluan pihak yang menuntut. Misalnya, fasakh adalah pembubaran melalui perintah kehakiman, atas beberapa sebab tertentu seperti suami langsung gagal memberi nafkah atau telah dengan nyata menganayai isteri.

Adakah perceraian boleh dilakukan di negeri lain di Malaysia (bukan negeri asal pasangan berkahwin)?
Perceraian harus dibuat di negeri yang anda bermastautin. Contohnya, jika anda lahir di Kuala Lumpur (KL), kad pengenalan beralamat di KL dan berkahwin di sana tetapi sekarang telah menetap di Pulau Pinang, anda boleh mendapatkan surat daripada qariah masjid tempatan (Pulau Pinang) untuk mengesahkan anda menetap di kawasan tempat tinggal sekarang (within that jurisdiction). Tidak perlu untuk anda pulang ke KL membuat permohonan untuk bercerai.

Isteri mendapati bahawa suaminya telah merogol anak sendiri dan mahu meminta cerai. Tetapi suami enggan melepaskannya. Bolehkah cadangkan apa yang boleh si isteri lakukan?
Si isteri mempunyai pilihan seperti menuntut fasakh dan takliq sekiranya suaminya tidak mahu melepaskannya, kerana menurut Islam, isteri tidak perlu patuh kepada suami yang membawa kepada kemungkaran.

Dalam tempoh iddah, adakah isteri dan anak-anak berhak untuk terus tinggal di rumah? 
Ya. Si suami yang sewajarnya harus keluar dan berpindah demi kebajikan si isteri dan anak-anak supaya kehidupan mereka terjamin daripada berpindah-randah.

Nafkah

Adakah suami perlu memberi nafkah kepada isteri? 
Secara amnya isteri berhak untuk mendapat hak nafkah. Suami wajib menyediakan nafkah terhadap isteri. Prinsip asas ini penting terutama bagi memelihara kebajikan isteri, dan hak ini wujud bukan hanya setelah bercerai tetapi semasa perkahwinan itu sendiri. Jika suami enggan atau cuai maka isteri berhak mengambil harta suaminya sebagai nafkah buat isteri dan anak-anaknya. Keperluan nafkah merangkumi makanan, pakaian, pelajaran, ibadat, tempat tinggal, kesihatan dan sebagainya.

Bagaimana untuk menuntut nafkah tertunggak?
Tuntuan boleh dibuat di Mahkamah Syariah. Kedua-dua suami isteri harus mengemukakan bukti. Sekiranya suami tidak memberi nafkah kepada isteri, si isteri boleh memfailkan di mahkamah sebagai nafkah tertunggak. Isteri juga boleh mengambil kira keperluan rumah, bil elektrik dan air, dan belanja tahunan anak-anak seperti kos pembelajaran di universiti dan lain-lain. Bapa bertanggungjawab menyediakan bantuan ini selagi anak belum berkahwin (bagi anak perempuan) dan sebelum bekerja (bagi anak lelaki).

Bolehkah isteri boleh menuntut mutaah? 
Ya. Mutaah ialah satu pemberian oleh si suami kepada si isteri jika isteri diceraikan tanpa kesalahan. Mutaah juga adalah satu pemberian dari suami kepada bekas isteri untuk memulakan kehidupan barunya selepas bercerai. Mutaah boleh dituntut tiga bulan selepas iddah. Contoh pengiraan kadar bayaran adalah seperti berikut: jumlah nafkah harian sebanyak RM20 X tempoh perkahwinan.

Hadhanah/ Hak Penjagaan Anak

Siapa yang layak menjaga anak-anak?
Di bawah undang-undang keluarga Islam, amnya ibulah orang yang paling layak untuk menjaga anak-anak terutama sekiranya mereka masih kecil dan masih menyusu. Mahkamah lazimnya akan melihat kebajikan anak-anak untuk menetapkan siapa yang layak, samada ibu atau bapa. Situasi ini akan berubah dimana bapa atau pihak lain boleh mendapat hak penjagaan sekiranya terdapat perkara yang memudaratkan pada ibu tersebut. Sebagai contoh, isteri mempunyai hubungan sulit dengan pihak lain yang boleh mengancam kebajikan anak-anak.

Seorang wanita mualaf/ saudara baru (Muslim convert) telah dianiayai suaminya. Dia mahu bercerai tetapi risau tidak akan mendapat hak penjagaan ke atas anak-anaknya kerana dia seorang mualaf. Adakah wanita ini boleh mendapat hak penjagaan anak? 
Wanita mualaf/ saudara baru boleh mendapat hak penjagaan anak daripada mahkamah kerana tidak ada bezanya saudara baru atau yang dilahirkan Muslim, dengan hak-hak yang sama ke atas anak-anak. Mahkamah akan berpandukan kepada kebajikan anak-anak termasuk isu-isu penjagaan dan disiplin untuk menetapkan dengan siapa mereka sepatutnya tinggal.

Harta Sepencarian

Harta sepencarian ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih, dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Maka, pembahagian harta sepencarian adalah pengiktirafan terhadap hak, habuan dan pemilikan bersama sepanjang perkahwinan. Pembahagian harta tersebut perlu dibuat atas prinsip keadilan dan hak.

Tuntutan terhadap harta sepencarian bukanlah dihadkan kepada isteri saja, malah suami juga berhak menuntut harta sepencarian daripada isteri. Ia menunjukkan bahawa harta yang sama-sama diperolehi oleh suami isteri, bukannya harta yang diperolehi oleh isteri sahaja ataupun harta yang diperolehi oleh suami sahaja. Mahkamah akan membuat keputusan mengenai kadar pembahagian harta tersebut dengan mengambil kira sumbangan anda seperti :

i) kewangan, harta benda atau tenaga;
ii) hutang untuk kepentingan bersama semasa perkahwinan;dan
iii) keperluan anak-anak yang belum dewasa.

Anda berhak menuntut harta sepencarian walaupun harta yang diperolehi semasa perkahwinan hanya daripada usaha suami sahaja. Mahkamah akan membahagikan harta tersebut dengan mengambil kira:

i) sumbangan tenaga anda terhadap kebajikan keluarga;
ii) sumbangan tenaga anda yang membolehkan suami mengumpul harta; dan
iii) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan anda.

Poligami

Jika suami berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, apakah hak isteri yang pertama?
Isteri mempunyai hak untuk membuat aduan kepada Mahkamah. Mahkamah akan mengambil kira samada suami telah melakukan kesalahan, dengan menilai faktor-faktor penting seperti kebajikan dan pendirian isteri pertama, keupayaan suami untuk berlaku adil dan sebagainya di mahkamah. Jika sabit kesalahan suami boleh didenda atau dipenjara.

Kos bayaran peguam syarie

Berapakah bayaran yang akan dikenakan oleh seorang peguam syarie ke atas kliennya untuk menuntut hak-haknya di mahkamah?
Tiada jumlah bayaran yang tetap tetapi mengikut rumitnya sesuatu kes itu atau kaliber peguam yang dilantik. Bagi mereka yang tidak mampu untuk mengupah peguam persendirian, Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan Legal Aid Centre (LAC) sedia membantu seseorang klien dengan bayaran yang minima.

Untuk maklumat yang lebih terperinci tentang isu-isu di atas, sila lawat laman sesawang Sisters in Islam.