Nafkah & Harta (Syariah)

Nafkah

Selepas proses perceraian, anda berhak menuntut:
1. Nafkah Iddah (S.59)
2. Nafkah tertunggak isteri (jika pada masa perkahwinan suami gagal memberi anda nafkah).(S.69)
3. Nafkah anak dan nafkah tertunggak anak (jika anda diberi hak penjagaan anak secara kekal atau sementara) (S.72 & S.77)

Mutah (Bayaran saguhati)

(S.56)
Anda berhak memohon mutah daripada suami anda selepas perceraian. Jumlah mutah akan ditetapkan oleh mahkamah mengikut Hukum Syarak. Diantara perkiraan mutah ialah:

Nafkah Harian x Tempoh Perkahwinan

Harta Sepencarian

(S.58)
Anda berhak memohon harta yang terkumpul semasa perkahwinan anda dan suami. Mahkamah akan membuat keputusan mengenai kadar pembahagian harta tersebut dengan mengambil kira sumbangan anda seperti :
(a) kewangan, harta benda atau tenaga;
(b) hutang untuk kepentingan bersama semasa perkahwinan;dan
(c) keperluan anak-anak yang belum dewasa.

Anda berhak menuntut harta sepencarian walaupun harta yang diperolehi semasa perkahwinan hanya daripada usaha suami sahaja. Mahkamah akan membahagikan harta tersebut dengan mengambil kira:
(a) sumbangan tenaga anda terhadap kebajikan keluarga;
(b) sumbangan tenaga anda yang membolehkan suami mengumpul harta; dan
(c) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan anda.

Hak Tempat Tinggal

(S.71)
Anda berhak tinggal di rumah yang didiami semasa perkahwinan selagi suami anda tidak menyediakan tempat tinggal lain yang bersesuaian. Hak tempat tinggal akan terbatal apabila:
(a) tamat tempoh ‘iddah
(b) tamat tempoh penjagaan anak (hingga umur 18 tahun atau lebih)
(c) anda berkahwin lain
(d) anda berlaku keji

Hadanah dan Penjagaan Anak

(S.81)
Anda mempunyai keutamaan ke atas hadanah (custody) anak dan suami pula ke atas penjagaan (guardianship) hak dan harta anak. Hak-hak tersebut boleh dicabar di mahkamah jika salah satu pihak dianggap tidak sesuai diberi hak tersebut. Mahkamah akan mengambil kira kepentingan anak.

Kesalahan Perkahwinan

Anda boleh membuat aduan di mahkamah tentang perbuatan suami anda dan mahkamah boleh mendakwanya atas kesalahan-kesalahan seperti berikut. Diantaranya ialah jika suami anda:

1. Menggangu anda (S.107)
Anda boleh mendapatkan perintah tegahan daripada mahkamah untuk menghentikan gangguan tersebut mengikut Undang-undang Keluarga Islam atau Akta Keganasan Rumatangga.

2. Menganiaya dan berlaku tidak adil terhadap anda (S.127 & S.128)
Jika tersabit kesalahan suami anda boleh didenda atau/dan dipenjara.

3. Berpoligami tanpa kebenaran mahkamah (S.123)
Jika tersabit kesalahan suami anda boleh didenda atau/dan dipenjara.

4. Melafazkan cerai diluar/tanpa kebenaran mahkamah(S.124)
Jika tersabit kesalahan suami anda boleh didenda atau/dan dipenjara.

5. Meninggalkan langsung anda setelah diperintah oleh mahkamah untuk kembali kepada anda dia enggan berbuat demikian (S.120&S.126)
Perbuatan ini melanggar perintah mahkamah dan suami boleh didenda dan/atau penjara.